Kerana dirimu amat berharga

Thursday, October 22, 2009

Mana seluar Aiman?

Telah hampir sepurnama blog ini tidak berkemaskini. Masa semakin suntuk, pengajian saya semakin hampir ke penghujungnya. Maka semakin kurang masa saya untuk ‘berlayar’ di alam maya, sementelah terpaksa menghadapi alam nyata yang amat memenatkan kepala otak.

Awal Oktober, saya berada di Bangkok menghadiri persidangan ‘The 19th International Congress of Nutrition’ dari 4 hingga 9hb. Tema tahun ini berbunyi ‘Nutrition Security for All’ amat relevan dengan kajian dan penulisan thesis saya. Di samping menyertai persidangan yang dihadiri lebih 3000 peserta dari seluruh dunia ini, saya juga membentang poster bertajuk ‘Measuring Food Insecurity in Wollongong’, sebahagian daripada kajian saya.

Telah menjadi seumpama ‘tradisi’ setiap persidangan atau seminar pemakanan dan dietetik, ruang ‘exhibition’ akan dipenuhi oleh syarikat-syarikat pemakanan. Mereka akan mempromosi makanan-makanan yang dihasilkan oleh syarikat masing-masing, di samping menyediakan sampel makanan dan minuman yang rata-ratanya amat menarik. Ini termasuklah beraneka jenis kek, kopi segera, jus buah-buahan, minuman bertenaga, coklat dan lain-lain. Terdapat juga makanan atau minuman baru di pasaran dipromosikan.

Selain dari sampel makanan dan minuman, ‘goody bags’ yang mengandungi pelbagai ‘free gift’ juga disediakan oleh syarikat-syarikat ini. Daripada sampel makanan dan minuman, sehinggalah kepada ‘thumb drive’, mug, gambar, minyak masak bermutu, kalender, buku resipi serta pelbagai lagi hadiah menjadi tumpuan para peserta. Di zaman bujang dulu, emak saya yang paling bertuah kerana akan dapat ‘beg telekung’ baru selain dari minyak masak special dan lain2 makanan. Kali ini saya kurang ‘mengutip’ beg-beg serta hadiah kerana mengenangkan perjalanan yang jauh, ditambah pula Kastam di Sydney yang cerewet berkenaan bahan makanan. Penat mengusung, tak lepas kastam pula nanti.

Terdapat juga syarikat penjagaan kesihatan yang mempromosi barangan kesihatan dan penjagaan badan, umpamanya ‘treadmill’, makanan tambahan serta alat penimbang berat. Mereka juga menyediakan perkhidmatan mengukur peratus lemak menggunakan peralatan elektronik hasil buatan syarikat masing-masing. Peratus lemak badan saya, sekitar 24%, memerlukan sedikit tindakan dan perhatian, hehe.

Gambar: Grand Palace, Bangkok

Bangkok bagi saya teramat sesak. Keadaan trafik juga lebih sesak berbanding Kuala Lumpur. Namun makanan serta barangan boleh dikatakan murah. Memandangkan saya berkelana sendirian tanpa keluarga, saya hanya mengikuti tour ke Grand Palace yang disediakan pihak penganjur persidangan. Ketika aktiviti ke bazar dan tempat ‘shopping’ serta juga restoran, saya terkenangkan Aiman yang ditinggalkan di Sydney. Saya cuma belikan dua helai baju T untuk aiman. Ketika dia ‘memeriksa’ hadiahnya, dia bertanya, “Babah, mana seluar Aiman?”

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails