Kerana dirimu amat berharga

Monday, March 26, 2007

Masuk Rumah Ikut Pintu

petikan dari saifulislam.com

MASUK RUMAH IKUT PINTU

Apabila kita mahu masuk ke rumah, kita tahu yang mana satu pintu depan, yang mana satu pintu belakang. Adakah kita ahli mesyuarat tingkap, atau ahli mesyuarat ruang tamu. Maka kita akan masuk dan keluar pada jalan yang betul.

Namun ada manusia yang masuk ke rumah ikut bumbung dan bukannya pintu depan. Manusia ini adalah pencuri.

Ada juga makluk yang masuk rumah tidak ikut pintu atau tingkap, malah ikut lubang bilik air. Namanya katak puru.

Manusia yang normal, yang betul, akan masuk ikut pintu masuk.

Begitu juga ilmu Islam.

Ada bahagian berfungsi sebagai pintu, ada juga sebagai tingkap.

Kita tentu biasa mendengar tentang istilah ilmu alat. Ia adalah ilmu yang berfungsi seperti memberikan kita alat untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Ia seumpama jala dan perahu bagi nelayan. Atau cangkul dan bajak bagi pesawah. Mungkin juga seperti kalkulator dan alat tulis bagi pelajar Sains.

Antara ilmu alat yang penting, adalah ilmu bahasa Arab. Ghairah mengkaji tentang Islam tetapi gersang dari keinginan mempelajari Bahasa Arab, maka akhirnya Islam kita tinggal Islam terjemahan. Kita berbalah tentang pendapat, hasil bacaan kita terhadap terjemahan semua perkara. Kita sendiri pun tahu, apakah kesan terjemahan kepada maksud asal sesuatu teks.

Saya bukanlah seorang yang terlalu ’ortodoks’, tetapi saya suka menegaskan betapa belajar tentang Islam, bermula dengan belajar tentang bahasa Islam. Tidak semestinya sampai kita mengambil Ijazah Bahasa Arab dan Kesusasteraannya. Tetapi Bahasa Arab tetap alat pertama untuk mengkaji Islam.

TERTIB PENGAJIAN ISLAM

Jika kita masuk ke mana-mana program Pengajian Islam, ia lazim bermula dengan mempelajari subjek ”Al-Madkhal” atau pengenalan. Antara teks yang lazim digunakan di universiti, adalah kitab ”Al-Madkhal ila al-Syariah al-Islamiyyah” oleh Dr. Abdul Karim Zaidan. Subjek Pengenalan ini mendedahkan pelajar di awal-awal pengajian mereka tentang pelbagai aspek Pengajian Islam.

Pelajar akan belajar terlebih dahulu tentang ciri-ciri Islam yang Rabbaniyyah, Syumuliyyah, ada Tawazun (keseimbangan) dan sebagainya. Di dalam subjek ini juga pelajar akan berkenalan dengan prinsip-prinsip utama di dalam Fiqh, Muamalat, Jinayat, Munakahat dan sebagainya. Ia semacam crush course untuk keseluruhan program Pengajian Islam itu sendiri.

Sama juga dengan bidang perubatan. Sebelum seseorang itu masuk ke peringkat klinikal di tahun tiga, mereka akan belajar dahulu ilmu alat di bidang perubatan. Mereka akan mempelajari anatomi, malah statistik. Sama ada belajar mengikut sistem lama, atau secara integrasi, ada ilmu satu dan dua, sebelum ilmu tiga.

TAFSIR

Di dalam pengajian Islam, sebelum kita mempelajari Tafsir, pelajar belajar terlebih dahulu Ulum al-Quran. Di dalam subjek ini pelajar akan berkenalan dan faham tentang prinsip-prinsip Nasakh Mansukh, ayat mana yang turun lebih awal, Asbab al-Nuzool, Qiraat dan 7 ’Huruf’ al-Quran dan sebagainya.

Untuk mengemaskan lagi hal ini, pelajar akan belajar mengenal Manhaj Ahli Tafsir dan kitab-kitab Tafsir yang utama, di dalam subjek ”al-Tafsir wa al-Mufassirun”. Selesai bab ini, barulah subjek Tafsir boleh diambil.

SUNNAH

Tentu sahaja contoh ini lebih jelas jika kita teliti ilmu Hadith. Sebelum kita menganalisa hadith di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, kita harus kenal terlebih dahulu perbezaan antara Hadith Mutawatir dan Ahad, Hadith Sahih, Hasan dan Dhaif, serta ilmu menilai Rijal Hadith. Sudah ada senduk, periuk dan bahan masak, barulah boleh mula menghidang.

Pernah terjadi, seorang pemuda suka sangat mempertikaikan hadith yang orang hujahkan, dengan kata, “apa, hadith tu mutawatir ke? Kalau tak mutawatir, jangan cakap”. Akhirnya orang menyangka yang dia hanya mempercayai hadith mutawatir dan menolak hadith Ahad. Lantas dibahaskan dengan panjang lebar tentang kedudukan hadith Ahad di dalam Aqidah Islam! Sungguh membuang masa, sebab pemuda itu bukannya menolak hadith Ahad, tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan Mutawatir dan Ahad, Sahih dan Dhaif. Sangkanya, hanya Mutawatir sahaja yang sah dijadikan dalil.

Sungguh membuang masa…!

FIQH

Di dalam masalah Fiqh, tentunya pelajar akan berkenalan dengan Usul Fiqh terlebih dahulu. Mereka perlu faham tentang kaedah istinbath (ekstrak hukum dari teks al-Quran dan al-Hadith), bagaimana ayat larangan berfungsi sebagai menghukum haram atau makruh, Mafhum Mukhalafah dan sebagainya. Subjek Usul Fiqh juga akan memperkenalkan kepada kita tentang perbezaan pendekatan setiap mazhab, merujuk kepada banyak sebab.

Mazhab yang berkembang di dalam suasana yang dekat dengan sumber hadith seperti Mazhab Maliki, mempunyai pandangan yang berbeza terhadap amalan penduduk Madinah dan memberikan nilai tertentu kepadanya. Mazhab yang berkembang di dalam suasana yang ramai pendusta hadith, memberikan keutamaan kepada ijtihad berbanding dengan soal berlembut di dalam menerima hadith yang bermasalah.

Hal-hal ini selesai terlebih dahulu, sebelum pelajar masuk ke subjek Fiqh. Malah subjek Fiqh juga bermula dengan Fiqh yang bertaraf personal sebelum menyentuh bahagian yang membabitkan muamalah seseorang dengan seseorang yang lain, di dalam Munakahat, Muamalat, Jinayat, Hubungan Antarabangsa dan sebagainya.

Tanpa Usul Fiqh, seorang pelajar yang menyelami dunia Fiqh akan menerima kejutan elektrik berkali-kali, setiap kali beliau terserempak dengan pandangan yang berbeza-beza. Dia akan berserabut dengan perbezaan mazhab, apatah lagi mahu pergi kepada isu perbandingan dan talfiq.

AQIDAH

Sama juga dalam masalah Aqidah. Pelajar mempelajari terlebih dahulu tentang Aqidahnya, sebelum mengkaji dan meneliti Aqidah kumpulan-kumpulan Islam yang banyak. Masakan dalam keadaan Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah belum jelas, seseorang itu sudah sibuk menganalisa dan mengkritik Aqidah Syiah, Khawarij, Muktazilah, malah Kristian, Buddha dan Hindu.

ISU POPULAR DARI INTERNET

Misalnya soal Ibnu Ishaq yang dilabel Syiah. Seorang itu perlu faham tentang beza melaksanakan disiplin hadith ke atas perawi Tarikh dan Sirah, berbanding mengimplimentasikannya ke atas perawi Hadith. Isu itu adalah subjek yang memerlukan seseorang itu faham di antara matlamat Muhaddith berbanding Muarrikh pada zaman seperti Ibnu Ishaq.

Begitu juga dengan pengkritik Muhammad bin Abdul Wahhab yang menjaja celaan Nabi SAW ke atas Najd (tempat kelahiran Muhammad ibn Abdul Wahhab itu). Soalnya Najd yang mana? Adakah Najd di Semenanjung Tanah Arab, atau Najd di Iraq? Untuk menyelesaikan hal ini, buku Geografi Islam seperti Mu’jam al-Buldan perlu dilibatkan. Bukan hanya artikel dan buku yang melengkapkan permusuhan…

ISLAM AMALAN VS. ISLAM PERDEBATAN

Saya tidak bermaksud mahu memperlihatkan seolah-olah Islam itu susah dan hanya ’orang tertentu’ tertentu sahaja yang boleh mempelajarinya. Islam memang mudah, boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja.

Tetapi untuk berkelakuan seperti pengkaji Islam, kenalah berpengetahuan seperti pengkaji Islam.

Ada atau tidak orang yang arif tentang Islam, tanpa ada penat dan lelah sebelumnya? Jawapannya TIADA. Saya menjawab dengan 100% yakin. Orang tua-tua kita pun sudah berpesan, “berakit-rakit dahulu berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian. Tak mahu susah, jangan susahkan orang lain.

NO PAIN, NO GAIN!

Mempelajari Islam untuk menjadi pegangan hidup, berbeza dengan mempelajari Islam untuk campur tangan dalam isu-isu umat Islam.

Apabila seseorang mendatangi permasalahan Syiah melalui pintu politik, tentu sekali dia akan memulakan langkah dengan kekaguman yang menjulang tinggi terhadap keupayaan Khomeini menumbangkan kezaliman Shah Iran. Tetapi politik tetap politik. Allah SWT mempertimbangkan kesahihan Ubudiyyah hamba-Nya bermula dengan pintu Aqidah dan seterusnya Ibadah, sebelum Siasah.

Jika politik hebat, namun Aqidahnya sulit, menumbangkan kezaliman pemimpin yang zalim tiada makna jika gagal menumbangkan kezaliman Syirik yang diistilahkan sebagai sebesar-besar kezaliman oleh al-Quran. Aqidah dahulu, baru ibadah dan siasah.

Sama jugalah dengan isu-isu yang lain.

Maka jika keliru dengan Islam dan isu-isunya, periksalah kembali, anda sebenarnya berada di dalam kekeliruan ini kerana Islam yang mengelirukan, atau anda sendiri keliru antara tingkap dan pintu?

Jika makanan segera membunuh, Islam segera dan pintas juga apa kurangnya!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails