Kerana dirimu amat berharga

Friday, November 26, 2010

Pencemaran Bersilang / Cross Contamination

Food Safety atau keselamatan makanan adalah pengetahuan penting yang perlu ada pada semua orang. Keracunan makanan boleh berlaku di mana-mana sama ada di rumah, warung, hotel, cafe dan majlis keraian, di mana sajian makanan merupakan antara elemen penting. Antara punca utama keracunan makanan berlaku adalah pencemaran bersilang atau cross contamination .

Pencemaran bersilang ialah pemindahan mikroorganisma merbahaya daripada satu item makanan kepada makanan yang lain melalui perantaraan sentuhan permukaan seperti tangan, papan pemotong dan peralatan lain. 



Pencemaran bersilang berlaku apabila kuman atau bakteria dipindahkan terutamanya daripada makanan mentah, seperti daging dan sayuran segar, kepada makanan sedia untuk dimakan (ready-to-eat food) seperti nasi, lauk dan salad. Makanan yang sedia untuk dimakan tidak akan melalui proses memasak lagi, maka pencemaran yang berlaku pada ketika itu akan membawa kepada keracunan makanan. Oleh sebab itu, pengendalian makanan yang telah dimasak dan akan dimakan terus amat perlu dipelihara akan kebersihannya, dari segi pengendali dan juga alatan yang digunakan yang bersentuhan dengan makanan yang dikendalikan.


Adalah amat penting untuk kita mengelakkan risiko pencemaran bersilang dan sentiasa berhati-hati ketika mengendalikan makanan. Antara langkah asas yang perlu diambil adalah seperti:

1. Tutup makanan yang sedia untuk dimakan.
Usahakanlah untuk menutup makanan yang telah siap untuk dimakan seandainya belum tiba waktu makan. Lalat dan juga udara antara punca pencemaran makanan. Walaupun kaki lalat itu kecil di mata kita, namun bagi kuman ianya merupakan 'pengangkutan awam' yang amat efisien dan cepat.


2. Asingkan penggunaan papan pemotong untuk daging mentah, sayuran dan juga makanan yang siap untuk dimakan.

-Jangan sesekali mengambil mudah perkara ini. Papan pemotong yang kelihatan bersih pada mata kasar biasanya masih mempunyai kuman dan bakteria yang terlekat padanya, terutamanya yang diperbuat daripada papan dan plastik. Papan pemotong lama yang penuh dengan bekas-bekas tetakan dan hirisan merupakan 'syurga' untuk pembiakan kuman, kerasa sisa-sisa makanan dan darah mudah terlekat. 
-Jika tidak mampu untuk menyediakan papan pemotong khas untuk setiap kategori makanan, maka basuh dengan betul-betul bersih menggunakan air suam sebelum menggunakan papan pemotong sama untuk jenis makanan yang berbeza. Yang penting, ianya adalah memang dibuat sebagai 'papan pemotong' atau chopping board, bukannya jubin lantai lebihan renovation rumah atau papan katil dan sebagainya. Lebih-lebih lagi semasa mengendalikan makanan yang siap untuk dimakan, seperti ketika mengoyak daging ayam rebus untuk soto dan memotong ketulan daging lembu rebus untuk dicicah dengan air asam... hmmm sedapnya!


3. Simpan makanan yang siap dimasak di rak bahagian atas peti ais, tinggi daripada makanan mentah yang harus diletakkan di rak bahagian bawah.
Ini kerana jika berlaku kebocoran pada bekas penyimpan bahan mentah tadi, air yang menitik boleh mencemarkan makanan siap dimakan yang berada di bawahnya dan ianya mungkin (biasanya) mengandungi kuman dan bakteria merbahaya.


4. Asingkan daging mentah daripada makanan yang siap untuk dimakan.
Daging mentah merupakan medium terbaik untuk pembiakan bakteria. Asingkan bekas menyimpan daging mentah daripada makanan siap dimasak. Jangan diletakkan pada rak yang sama di dalam peti ais.

5. Bersihkan peralatan yang telah bersentuhan dengan bahan mentah terutamanya daging dan telur setiap kali selepas digunakan.
Ini termasuklah sinki dan permukaan meja penyedian makanan, selain daripada tangan, papan pemotong dan pisau. Antara yang kita selalu terlupa ialah tuala dapur, kadang-kadang sampai kusam masih lagi pakai kain yang sama. Kain itulah untuk mengangkat periuk panas, itulah untuk lapik pinggan, itulah juga untuk mengelap peralatan dsb.



Kegagalan dan kecuaian dalam memastikan risiko pencemaran bersilang dapat dielakkan mungkin akan menyebabkan keracunan makanan. Antara tanda-tanda keracunan makanan ialah cirit-birit, loya, muntah, dan kekejangan otot abdomen (memulas, sakit perut dsb.) Biasanya ia akan hilang dalam masa 3-5 hari. Jika keadaan menjadi semakin teruk disertai dengan demam atau sakit kepala, pastikan anda mendapat rawatan lanjut. 


Abu Aiman
19 Zulhijah 1431
26 Nov 2010

Monday, November 15, 2010

Takkan Lari Gunung Dikejar

Sebelum meneruskan cerita, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha. Bagi yang pulang beraya, berhati-hati di jalan raya. Musim2 hujan ni, jalan terlebih licin, jarak penglihatan juga terbatas. Biar lambat asal selamat.

Kami juga akan pulang beraya insyaAllah. Kali ini bukan sahaja sekadar untuk beraya dan menyembelih korban, tetapi juga membawa hajat yang besar.

Kumbang terbang di sini-sana,
Ingin menyunting bunga di taman,
Sudah lama tuan menduda,
Sampai masa untuk berteman.

Alhamdulillah, setelah beberapa bulan menduda, salah seorang ahli keluarga kami akan bertemu jodoh yang baru. Puas juga saya tolong merisik ke sana ke mari. Bila bertemu yang berkenan di hati, dikhabarkan sudah ada yang punya. 

Akhirnya berita gembira yang ditunggu pun tiba. Khabar disampai melalui saudara. Sudah bertemu calon yang sesuai, hanya menanti untuk ditanda. Masing-masing belum pernah bersua. Saya sendiri belum pernah bertemu dengan pihak sebelah sana, hanya risik-merisik melalui keluarga sahaja. Namun atas dasar menjalankan tanggungjawab, saya sendiri yang akan membawa pulang dan mempertemukan pasangan ini selepas raya nanti, insyaAllah.

Dewasa ini ramai yang berpendapat  bahawa perkahwinan berdasarkan family arrangement agak ketinggalan zaman dan kolot, namun bagi pasangan ini, walaupun jodoh mereka kelak merupakan hasil pilihan keluarga, tiada suara bantahan yang kedengaran. Diharapkan semoga mereka akan bahagia bersama.



Takkan lari gunung dikejar. Jodohmu akan kubawa pulang
Bobby dengan gaya angkat kaki.








Friday, November 12, 2010

Abah: Setahun Sudah Pemergianmu

Begitu pantas masa berlalu.  Rasa baru sahaja saya menukilkan saat-saat akhir abah di blog ini. Dan tarikh itu datang lagi, sesudah setahun perginya Abah ke alam baqa.


Sejak abah tiada, pelbagai perubahan berlaku. Mama merupakan insan yang paling terkesan. Masakan tidak, banyak urusan seharian yang di bawah tanggungjawab abah, sekarang terpikul di bahu mama. Mama mengalami sedikit kejutan. Anak-anak mengajak mama untuk tinggal bersama, tapi mama tetap mahu terus berada di rumahnya. Seumur hidup, mama tidak pernah keseorangan di rumah. Selepas abah tiada, mama terpaksa belajar bersendirian. Mama masih kuat di usianya menjangkau 70 tahun. Dia masih gagah membawa kereta ke kelas pengajian, dan sesekali menziarahi pusara abah. Alhamdulillah mama kini semakin kuat dan kembali bersemangat.


Aiman bersama sepupu-sepupunya menziarahi tok abah di pagi Aidilfitri.

Walaupun setahun sudah berlalu, kadang-kadang saya masih lagi diserang perasaan rindu yang mendadak. Bila diceritakan pada mama, dia juga begitu. Beberapa kali juga saya bermimpi berjumpa abah, sekadar bertemu muka tanpa berbicara. Saya dapat bayangkan yang mama lebih terasa kehilangan terutama semasa berseorangan di rumah. Memang mama ada bertandang ke rumah anak-anak, namun hatinya tetap di sana, rumahnya.

Abah pergi ketika saya masih belum selesai pengajian di Australia. Saya belum sempat berbakti pada abah. Saya tidak banyak menghabiskan masa bersama abah di tahun-tahun akhir kehidupannya. Namun saya yakin hubungan anak dan ayah kekal hingga ke akhirat. Saya rindu abah!

Semoga abah bahagia di sana . Sesungguhnya kami bakal menyusulimu...


كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ 

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." 

Ali Imran: 185

Wednesday, November 10, 2010

Dimanakah kita?


Malam semalam ada kuliah maghrib di surau belakang rumah. Alhamdulillah, diberikan kesempatan untuk hadir sama.

Sedikit sedutan daripada kuliah semalam untuk ingatan bersama, berkenaan kualiti ibadah kita ...



Ibadah Pedagang

Seorang pedagang selalunya fokus kepada keuntungan hasil dari jual-beli perdagangan yang dijalankan. Mereka sentiasa memikirkan akan pulangan dan hasil atas segala perbuatan dan usaha mereka. Dalam beribadah, ramai di kalangan kita yang melakukan amal ibadah berdasarkan ganjaran yang dijanjikan. Ada juga yang memilih apa bentuk amalan yang akan dilakukan, dan amalan mana yang boleh diabaikan. Maka mereka ini beribadah umpama seorang pedagang.


Ibadah seorang hamba

Pada zaman dahulu, seorang hamba abdi akan menurut perintah dan taat setia kepada tuan yang memilikinya. Segala arahan akan dituruti atas rasa takut kepada tuannya, bimbang jika dikenakan hukuman. Ada diantaranya yang melakukan pekerjaan dengan tidak sepenuh hati, asalkan pekerjaan itu selesai dan dia dikira telahpun menjalankan tugasnya dan tidak akan dihukum. Begitu juga dalam beribadah, ada di antara kita yang melakukannya kerana rasa takut serta untuk memenuhi tuntutan beribadah. Ada juga yang tidak melakukan ibadah selain daripada yang diwajibkan, melepaskan diri atas tanggungjawabnya semata. Syukur kerana dia telah menjalankan kewajipannya, namun masih ada ruang penambahbaikan.


Ibadah orang merdeka

Orang yang merdeka bebas melakukan apa sahaja yang disukainya. Tiada rasa terpaksa untuk membuat itu dan ini. Bebas melakukan pilihan. Dari segi ibadah, mereka melakukannya atas rasa syukur dan berterima kasih kepada Allah, selain daripada untuk mentaati perintahNya. Tingkatan ibadah beginilah yang seharusnya kita usahakan. Ikhlas dan penuh rasa syukur mengharap keredhaanNya.

Dalam suatu riwayat menceritakan, suatu malam Aisyah r.a. terjaga dan dilihatnya Rasulullah sedang beribadah. Oleh kerana banyaknya dan lamanya solat yang dilakukan, kaki baginda bengkak-bengkak. Aisyah berkata, 'Wahai kekasih Allah, bukankah tuan seorang yang maksum (ya'ni terhindar dari melakukan dosa) dan dijanjikan syurga? Mengapa tuan beribadah sehingga begini?' Rasulullah menjawab, 'Wahai isteriku, tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?'

Sama-samalah kita mempertingkatkan kualiti ibadah kita. InsyaAllah.

Rasulullah dan para sahabat sedikit tidurnya, banyak amalannya, sehingga bengkak-bengkak kaki.

Kita pula terlebih tidurnya, kurang amalannya, sehingga bengkak-bengkak mata.




Wednesday, November 3, 2010

Baju Lama Baju Baru


Kalau berjalan-jalan ke supermarket atau shopping mall, antara department sering dilawati ialah kain baju budak. Ya lah, budak-budak cepat membesar. Maka mahu tidak mahu selalu juga lah kena beli persalinan baru; baju tidur, baju jalan2, seluar, setokin, kasut, selipar...

Jika dibandingkan pilihan pakain budak lelaki dan perempuan, lebih mudah memilih baju budak lelaki kerana tak lah sebanyak pilihan baju budak perempuan yang berfesyen-fesyen. Nasib baik Aiman lelaki. Kalau adik nanti girl, kita biar mamanya saja yang shopping sorang-sorang. Sekarang ni pun bila lalu saja dah teruja nak beli dress lah, head band lah, kasut yang kecik-kiut tu pun kalau boleh nak diangkut. Tidak dinafikan memang pakaian baby dan budak kecil sangat comel dan kiut.

Saya jarang membeli pakaian baru. Amat jarang. Sehinggakan 'dituduh' suka memakai baju lama yang kelihatan usang di mata isteri. Sayang juga dia kat saya. Saya belasah saja, nampak masih elok dipakai. Baru-baru ini saya beli juga dua helai kemeja dengan sehelai slack, itupun sale yang mana dua daripadanya 50% diskaun dan satu lagi 70% diskaun. Kalau tidak, jawapan saya ialah "nanti dulu lah".

Alasan utama, pakaian lelaki lebih mahal dari wanita. Lepas tu pulak, tak banyak choice. Kalau kemeja untuk ke ofis, sama ada lengan panjang atau pendek, dan coraknya pula belang atau petak, kalau tidak mahu yang plain colour. Begitu juga seluar slack. Jadi nak buat apa ada banyak-banyak benda yang lebih kurang sama kan? Mungkin boleh kumpul neck-tie, tapi kalau banyak-banyak nak buat apa pun. Kadang-kadang tu jealous juga dengan orang perempuan. Dah lah murah sikit, pelbagai corak dan warna serta style pula tu. Cuma perlu pastikan tutup aurat lah yer!

Kasut kerja utama saya masih lagi kasut hitam hadiah hantaran kahwin 6 tahun dulu. Ada la sepasang dua lagi yang lain, termasuk satu yang dibeli di up-town, yang dah mengelupas tapi masih selesa dipakai. Kasut 'orang itu'? Saya dah lost count. Tapi padan la, harga sepasang kasut lelaki boleh beli 3-4 pasang kasut perempuan. Kena pulak time sale kan. Hmm, lama dah dia tak beli kasut baru...

Anak dan abah punya.
From Out and About 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails