Kerana dirimu amat berharga

Thursday, November 26, 2009

Perginya Abah Tak Kembali Lagi

Malam Jumaat dua minggu yang lalu, merupakan malam terakhir abah bermalam di rumah. Malam yang dipenuhi dengan bacaan al-Quran. Tamu datang dan pergi dari malam hingga ke pagi, semata-mata untuk menjenguk wajah abah untuk kali terakhir. Abah tetap kaku di pembaringan, seolah-olah sedang tidur dengan amat nyenyak sekali. Terdetik juga di hati, "Abah, bangunlah!"

Kronologi ringkas kembalinya abah ke Rahmatullah

Abah selalu sihat. Dia tidak mengidap sebarang penyakit kronik; darah tinggi, sakit jantung, kencing manis; tiada. Abah dan mama selalu membuat pemeriksaan kesihatan. Cuma baru-baru ini paras kolesterol abah meningkat, sekitar 9 kalau tak silap. Abah diberi ubat, belum sempat dihabiskan.

Awal november abah mula demam. Hari Jumaat, 6hb Nov 2009, abah mula muntah-muntah. Apa yang dimakan akan keluar semula. Sepupu saya yang tinggal berdekatan, kebetulan masih bercuti setelah baru tamat pengajian perubatannya, membawa abah ke bahagian kecemasan Hospital Taiping. Darah diperiksa, didapati platelet rendah. Terus abah ditahan di wad, disangka demam denggi. Petang itu merupakan kali terakhir saya mendengar suara abah di telefon. Abah mengah, tak cukup nafas. Penat. Saya hanya nasihatkan abah supaya berehat dan makan ubat, kerana jika betul denggi, insyaAllah akan sembuh cepat.

Sabtu, 7hb Nov 2009, kakak saya memberitahu abah dimasukkan ke CCU. Jantung agak lemah. Bukan lagi denggi, tetapi siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti virus apa yang menyerang. Saya mula terlintas untuk pulang ke Malaysia.

Ahad, 8hb Nov 2009, sekali lagi menerima kejutan melalui telefon. Paru-paru abah berair, pneumonia. Abah semakin penat bernafas. Petang itu juga abah dimasukkan ke ICU. Setelah perbincangan panjang dengan doktor pakar, keluarga memberi keizinan, dan abah juga setuju untuk 'ditidurkan' dan diletakkan dengan bantuan respiratory serta life support. Saya terus berusaha mendapatkan tiket pulang ke Malaysia. Saya tiba di lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang pada 5.15p.m. hari Isnin, 9hb Nov 2009. Terus pulang ke Taiping bersama kakak ipar saya, menuju ke hospital.

Kelihatan abah 'tidur'. Tiub berselirat di sana-sini di badan abah. Abah tak pernah sakit teruk. Abah tak ada penyakit. Amat sukar untuk saya melihat keadaan abah di dalam bilik ICU dari cermin kaca wad itu. Susah untuk saya terima yang abah sakit teruk. Namun semangat saya masih kuat mengatakan abah akan sembuh. Kawalan ketat, namun staff nurse yang bertugas petang itu membenarkan saya masuk setelah diberitahu saya baru sampai dari Sydney. Saya pegang tangan abah. Suam. Saya terus membaca Al-Fatihah dan berdoa semoga Allah menyembuhkan penyakit abah. Cium pipi abah, cium dahi abah, bau abah masih sama. Saya bisik pada telinga abah, "Abah, saya dah balik. Abah mesti kuat. Abah kena lawan penyakit abah. Abah kena balik rumah!" dan saya terus keluar dari bilik ICU. Tak tahan melihat abah dalam keadaan begitu. Mama yang sudah beberapa hari berendam air mata, terpaksa mententeramkan anak bongsunya pula. Hiba...

Tidak banyak perubahan pada hari-hari berikutnya. Platelet abah meningkat. Demam sudah kebah. Renal output kelihatan sedikit baik walaupun masih belum pulih. Dos ubat untuk jantung abah juga sudah di-taper down. Hati anak-anak abah sedikit berbunga, penuh harapan. Abang pulang ke Penang kerana ada perkara penting di pejabat, setelah 'membaca' abah akan tetap sembuh. Akan tetapi doktor tetap mengatakan, 'I don't want to give you much hope'. Mungkin kerana jantung dan paru-paru abah masih tiada improvement. Liver enzyme juga meningkat. Virus masih belum dapat dikesan, dan tidak dapat dikesan sehingga ke akhir hayat abah. Broad spectrum antibiotic terus diberi kepada abah.

Khamis, 12hb Nov, seperti hari-hari sebelumnya, saya sampai di awal pagi. Staff nurse yg bertugas malam sebelumnya memberitahu abah kekurangan oksigen semalam, gasping. Dos oksigen dan tekanan bantuan respiratory dinaikkan. Abah kelihatan seolah-olah menarik dan menghembus nafas dengan kuat. 'He is getting worse,' kata doktor pada tengahari Khamis tersebut kepada kakak dan saya. Mama ketika itu di sofa berhampiran, menunggu khabar daripada anak2nya. 'Is your family around? It's better to get them around,' kata ketua doktor pakar perubatan pula. Saya dan kakak terkedu, menangis. Tak tahu bagaimana nak bagitahu mama. Kami menelefon abang, yang masih dalam perjalanan dari Pulau Pinang.

Saya pulang untuk mengambil isteri dan aiman yang berada di rumah. Dalam perjalanan, kakak telefon. Sambil tersedu, 'Doktor tengah buat CPR!' Saya faham maksud kakak. Abah kritikal. Saya memecut kereta abah kembali ke hospital, sempat juga menelefon Mak Tam supaya beritahu adik-adik mama yang lain2 di Taiping. Berlari ke wad, sesampai di situ beberapa orang doktor dan nurse di katil abah. Tirai ditutup, hanya kelihatan kaki abah yang bergoyang-goyang akibat tekanan yang diterimanya di jantung, usaha untuk 'revive' kembali jantung abah. Mama menekup muka di sofa. Kakak di cermin kaca, menangis. Seorang sepupu saya dan seorang lagi makcik saya berada di situ. Saya berdiri di muka pintu, mohon supaya mama dapat masuk dan berada di tepi abah. Tidak berjaya. Saya terus membaca ayat2 Al-Quran, sesekali saya azan perlahan di pintu ICU.

Saya memohon lagi untuk masuk, agar saya boleh bertalkin di telinga abah. Kali ini mama dan saya dibenarkan masuk. Saya terus menuju ke tepi kepala abah. "Laa Ilaaha Illa Allaah," berterusan saya talkinkan kalimah tauhid itu ke telinga abah, diselangi dengan doa nabi ketika melawat orang sakit. Mama memegang tangan abah, mukanya ke bawah. Saya tabahkan hati agar tidak mengikut perasaan, terus mengingatkan abah akan Tuhan Rabbul Jalil, Allaaaaaah!

Akhirnya, tepat jam 6.36 petang, 12hb Nov 2009, bersamaan 24 Zulkaedah 1430h, abah diumumkan telah kembali ke pangkuan Ilahi di usia 69 tahun. Masih jelas di ingatan, mama berkata, 'Kenapa abah pergi cepat sangat...' sambil mencium dan memeluk abah, sebelum keluar dan duduk di kerusi. Kakak dan abang serta saya masih 'bercelaru', tetapi saya terus bersabar dan mengingatkan bahawa ini ketentuan Tuhan. Hanya Tuhan yang tahu perasaan kami sekeluarga. Maksu, Maktam, Pakcik, Mak Uda dan keluarga serta beberapa lagi saudara-mara ada di situ.

Perginya abah tidak akan kembali lagi ke rumah ini


Urusan Jenazah

Abah dibawa pulang ke rumah malam tersebut. Urusan dibuat dengan panduan Hj Hussin, imam Masjid Al-Falah, juga sahabat2 abah yang terdiri dari ahli qaryah masjid juga. Jenazah abah disembahyangkan di Masjid Al-Falah tepat jam 10 pagi, dan di imamkan oleh anak abah sendiri.

Pagi Jumaat, 13hb Nov 2009 bersamaan 25 Zulkaedah 1430h, abah telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Asam Kumbang, Tekah. Abah meninggal malam Jumaat, dikebumikan di pagi Jumaat, sebelum solat Jumaat. Penghulu segala hari.

Semoga abah ditempatkan di kalangan para solehin. Semoga abah mendapat keampunan Allah. Semoga abah berbahagia di sana. Ya Allah, temukanlah semula keluarga kami di syurga. Ya Allah, tabahkanlah hati mama untuk menempuhi hidup tanpa abah, kerana mama adalah insan yang paling terkesan dengan pemergian abah... Al-Fatihah.

17 comments:

  1. Salam... Innalillahi wa inna ilaihi raaji'uun

    Azdie, semoga tabah. Mmg sukar mengagak ketentuan Ilahi. Semoga rohnya digolongkan dalam golongan insan yang mendapat rahmah dari-Nya...

    ReplyDelete
  2. Salam takziah dari akak sekeluarga...smga roh abah AzD sentiasa dilindungi Allah hendaknya....aminnnn

    ReplyDelete
  3. Salam takziah.
    Al-Fatihah untuk arwah,semoga rohnya dicucuri rahmat.
    Hanya yang kehilangan merasai betapa harga sebuah kerinduan...

    ReplyDelete
  4. salam takziah.
    moga al-marhum diampunkan dosa dan ditempatkan di syurga. sedih pula baca artikel anta, teringat pemergian arwah abah 4 tahun lalu.

    ReplyDelete
  5. azdie, bila aku baca catatan blog nih baru tau cerita sebenar..n sedih sangat perasaan nih..i do hope that your mama n u urself tabah menghadapi segala dugaan..aku tak boleh imagine if i were in ur shoes..

    teruskan perjuangan phd n dedicate it for your father..

    ReplyDelete
  6. bakhtiar,
    Benar. Sesungguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik. Terima kasih.

    kak azreen,
    terima kasih.

    ikan emas,
    betul tu. sebelum ni dengar cerita orang, tapi kali ni kena hadapi sendiri.

    anon,
    terima kasih.

    akhi abidfana,
    terima kasih atas doa. jadi kita sama2 dah melalui pengalaman kehilangan seorang abah. ana masih lagi dok terasa seolah-olah abah masih ada...

    syedah,
    thanks, insyaAllah aku akan habiskan phd asap. Siapa sangka dalam dok sihat2, tiba2 dlm masa seminggu kesihatan dia merudum dan terus hembus nafas terakhir. Macam2 virus sekarang ni... Tapi itu lah ketentuan Tuhan kan, kena redho. Thanks again.

    ReplyDelete
  7. Al Fatihah. Semoga tabah menghadapi ujian Allah apabila kehilangan orang tersayang. Semoga Allahyarham ditempat dikalangan mereka yang mendapat rahmat dan syurganya. Amin

    ReplyDelete
  8. Al-Fatihah untuk arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di tempat-tempat orang beriman. Ameen.

    ReplyDelete
  9. salam takziah atas pemergian arwah ayah Azdie. tabahkan hati atas ujian Allah ini

    semoga rohnya ditempatkan di sisi orang2 yang beriman. al-Fatihah.

    ReplyDelete
  10. Pok Li, Ms Zara & Bapak,
    Terima kasih atas salam dan doa semua. Amiin.

    ReplyDelete
  11. Salam takziah... Innalillahi wa inna ilaihi raaji'uun

    Semoga abah ditempatkan dikalangan mereka2 yang diterima amalannya insyaAllah.

    wassalam.

    ReplyDelete
  12. Takziah ustaz Azdie. abang ana meninggal April lepas, tak sempat nak tengok saat-saat last. 3 minggu kat hospital.

    ReplyDelete
  13. Innalillaah... Sama2 kita doakan mereka ya akhi. Itulah kan, ajal maut di tangan Tuhan. Giliran kita belum tahu bila...

    ReplyDelete
  14. Sayu rasa baca artikel ni.

    Semoga dia tenang di sana bersama orang-orang beriman. Ameen.

    ReplyDelete
  15. Sayu rasa baca artikel ni.

    Semoga dia tenang di sana bersama orang-orang beriman. Ameen.

    ReplyDelete
  16. terima kasih atas doa ustaz... ameen.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails