Kerana dirimu amat berharga

Thursday, October 22, 2009

Mana seluar Aiman?

Telah hampir sepurnama blog ini tidak berkemaskini. Masa semakin suntuk, pengajian saya semakin hampir ke penghujungnya. Maka semakin kurang masa saya untuk ‘berlayar’ di alam maya, sementelah terpaksa menghadapi alam nyata yang amat memenatkan kepala otak.

Awal Oktober, saya berada di Bangkok menghadiri persidangan ‘The 19th International Congress of Nutrition’ dari 4 hingga 9hb. Tema tahun ini berbunyi ‘Nutrition Security for All’ amat relevan dengan kajian dan penulisan thesis saya. Di samping menyertai persidangan yang dihadiri lebih 3000 peserta dari seluruh dunia ini, saya juga membentang poster bertajuk ‘Measuring Food Insecurity in Wollongong’, sebahagian daripada kajian saya.

Telah menjadi seumpama ‘tradisi’ setiap persidangan atau seminar pemakanan dan dietetik, ruang ‘exhibition’ akan dipenuhi oleh syarikat-syarikat pemakanan. Mereka akan mempromosi makanan-makanan yang dihasilkan oleh syarikat masing-masing, di samping menyediakan sampel makanan dan minuman yang rata-ratanya amat menarik. Ini termasuklah beraneka jenis kek, kopi segera, jus buah-buahan, minuman bertenaga, coklat dan lain-lain. Terdapat juga makanan atau minuman baru di pasaran dipromosikan.

Selain dari sampel makanan dan minuman, ‘goody bags’ yang mengandungi pelbagai ‘free gift’ juga disediakan oleh syarikat-syarikat ini. Daripada sampel makanan dan minuman, sehinggalah kepada ‘thumb drive’, mug, gambar, minyak masak bermutu, kalender, buku resipi serta pelbagai lagi hadiah menjadi tumpuan para peserta. Di zaman bujang dulu, emak saya yang paling bertuah kerana akan dapat ‘beg telekung’ baru selain dari minyak masak special dan lain2 makanan. Kali ini saya kurang ‘mengutip’ beg-beg serta hadiah kerana mengenangkan perjalanan yang jauh, ditambah pula Kastam di Sydney yang cerewet berkenaan bahan makanan. Penat mengusung, tak lepas kastam pula nanti.

Terdapat juga syarikat penjagaan kesihatan yang mempromosi barangan kesihatan dan penjagaan badan, umpamanya ‘treadmill’, makanan tambahan serta alat penimbang berat. Mereka juga menyediakan perkhidmatan mengukur peratus lemak menggunakan peralatan elektronik hasil buatan syarikat masing-masing. Peratus lemak badan saya, sekitar 24%, memerlukan sedikit tindakan dan perhatian, hehe.

Gambar: Grand Palace, Bangkok

Bangkok bagi saya teramat sesak. Keadaan trafik juga lebih sesak berbanding Kuala Lumpur. Namun makanan serta barangan boleh dikatakan murah. Memandangkan saya berkelana sendirian tanpa keluarga, saya hanya mengikuti tour ke Grand Palace yang disediakan pihak penganjur persidangan. Ketika aktiviti ke bazar dan tempat ‘shopping’ serta juga restoran, saya terkenangkan Aiman yang ditinggalkan di Sydney. Saya cuma belikan dua helai baju T untuk aiman. Ketika dia ‘memeriksa’ hadiahnya, dia bertanya, “Babah, mana seluar Aiman?”

Saturday, September 26, 2009

Makan Membawa Makna

Semasa di kelas Antropologi Pemakanan dulu, antara kata-kata pensyarah yang saya masih ingat berbunyi lebih kurang, "Kita bukan hanya makan makanan, tetapi kita juga memakan 'makna' makanan tersebut."

Kajian berkaitan dengan Food Insecurity, oleh kerana menyediakan serta berkongsi makanan keramaian merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial bagi sesetengah budaya, ia menjadi suatu bebanan bagi mereka yang tidak mampu. Ia menyebabkan tekanan dan akhirnya mengasingkan diri dan keluarga daripada masyarakat. Ini berlaku di New Zealand di kalangan kaum Maori.

Masa muda-muda dulu orang bertanya, "bila hang nak makan nasi minyak?" "Awat? kalau hang nak jom la aku bawak pi kedai," jawapan balasnya. Walaupun di majlis kenduri sekarang pelbagai variasi nasi dan lauk disediakan, namun ungkapan 'nasi minyak' lebih sinonim dengan majlis perkahwinan.

Di musim perayaan ini, sedar atau tidak kita masih terus makan walaupun perut dah naik ke dada. Kenapa? Sebab raya. Makanan yang tersedia itu membawa 'makna' kita sedang menyambut hari raya. Kuih dan biskut termasuklah maruku kalau ada, kita kategorikan semua sekali sebagai 'kuih raya'. Walhal kebanyakannya ada dijual sepanjang tahun.


Bergambar di depan Malaysia Hall Sydney selepas solat sunat Aidilfitri


Ketupat dan lemang, walaupun sekarang boleh didapati tak kira masa, namun bila tiba musim hari raya, ditambah pula kita memasaknya sendiri bersama keluarga, ia membawa makna Raya bersama. Bila bertandang ke rumah rakan dan jiran atau ke 'rumah terbuka', sebagai meraikan tuan rumah kita akan makan lagi dan lagi. Apa saja yang terhidang, baik laksa, lontong, nasi minyak, rendang, semuanya 'lauk raya'.

Kalau di Malaysia, mengadakan 'open house' lebih mudah kerana kita boleh mengambil perkhidmatan katering, atau kita boleh 'order' menu yang ada. Begitu juga kuih raya dan sebagainya, siap boleh di'order' sebelum puasa lagi. Tetapi beraya di perantauan memang mencabar skill memasak. Internet menjadi sumber rujukan. Bertukar-tukar resepi dan skill menjadi perkara biasa. Jikalau boleh semua nak buat, semua nak sedap, tapi nak cepat. Contohnya, masak pulut dalam microwave. Tak payah nak kukus atau rendam lama-lama, siap dalam beberapa minit. Menu wajib saya pastinya rendang pedas daging resepi ibunda.

Sudah seminggu kita di bulan Syawal. Kalau di Malaysia musim rumah terbuka, di Sydney juga tak kurang hebatnya. Nampak gaya berat yang turun 'sedikit' di bulan puasa diganti balik malah berganda. Raya kali ini saya masih belum jumpa laksa. Hari ini ada jemputan, dengar khabarnya ada laksa...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails