Hari Rabu, 3hb Disember 2008, merupakan hari bersejarah buatku. Setelah lebih seminggu aku keluar masuk wad bersalin, masanya telahpun tiba.
Semenjak awal pagi, perutku yang mengembang beberapa kali ganda terasa semakin sarat. Kelihatan luar biasa bulatnya perutku. Sekitar jam 9 pagi, akhirnya kelahiran yang pertama di dalam wad bersalin yang masih baru ini disambut dengan kesyukuran dan kegembiraan. Namun begitu, perutku masih membuyung, dan aku masih resah, gelisah, seolah-olah masih ada yang belum selesai.
Rupanya ramalanku benar, aku melahirkan anak yang kedua selang beberapa minit kemudian. Alhamdulillah, bulat dan sihat. Comel sekali kedua-dua anakku ini, dengan mata yang bulat dan hitam sekali. Tetapi, perasaanku tetap tidak berubah. Perutku masih sengal-sengal. Selang beberapa minit, anak ketiga ku dilahirkan. "Wah, dah tiga! Ada lagi kah?" fikirku.
Ditakdirkan Tuhan, aku terus melahirkan anak demi anak, sehinggalah anak yang ke tiga belas, sekitar jam 4 petang. Pada waktu ini, perutku kelihatan amat berbeza berbanding pagi, dan aku semakin selesa. Selera makanku bertambah, berapa banyak makanan yang disediakan, aku jamah sampai licin. Mungkin untuk mengisi ruang abdomenku yang telah dikosongkan oleh anak-anakku yang 13 ini. Aku semakin kuat, maka pada malam itu aku dikeluarkan dari wad bersalin. Akan tetapi, anak-anakku ditahan buat sementara waktu untuk pengawasan dan pemastian yang mereka benar-benar sihat dan selamat, sebelum dibenarkan keluar.
Aku seekor ibu gapi, dan ini anak-anakku yang comel...
Mengintai dari luar wad...
Aku (bawah), pasanganku (hitam menawan) dan maduku (kecik aje dariku)...
No comments:
Post a Comment