Dalam kelas, saya berpesan kepada pelajar; ambil kesempatan pada setiap turning point dalam kehidupan kita untuk berubah menjadi lebih baik. Bagi diri saya sendiri, antara turning point yang saya rasakan besar ialah saat status berubah menjadi suami orang, saat menjadi seorang ayah, dan yang terbesar setakat ini ialah saat kembalinya abah saya ke Rahmatullah.
Selepas tujuh tahun bergelar babah, anak sulung saya kini berada di darjah satu. Hari ini hari ke-enam Aiman belajar di 'sekolah betul'. Jika dulu di pra-sekolah, dia bebas ponteng sekolah atau 'tuang' ('truant' kata orang kampung), kini surat tunjuk sebab perlu dikemukakan jika tidak hadir ke sekolah. Jika dulu boleh masuk lambat ke kelas, kini tepat 8.40 pagi mesti berada di sekolah. Alhamdulillah, setakat ini nampaknya Aiman dapat menyesuaikan diri dengan baik.
|
Rasa macam belum puas bermain dengan budak kecil ini, sekarang dah darjah satu. |
Sedikit sebanyak (banyak juga sebenarnya) ia mempengaruhi rutin harian keluarga. Bersempena dengan perubahan ini, saya berniat untuk bangun lebih awal setiap hari. Perlu sediakan sarapan di rumah (tiada lagi sarapan di kedai mamak pukul 8 pagi sebelum ke sekolah dengan aiman), gosok baju lebih awal, pastikan buku yang betul ke dalam beg sekolah (ini kerja mama aiman) dan lain-lain lagi.
Memandangkan dah pun masuk tujuh tahun, latihan ke arah menjadi muslim yang taat perlu dimulakan. Memang di sekolah yang aiman masuk banyak subjek agama, tapi kata nabi, ibubapa yang mencorakkan anak-anak. Maka tidak wajar ibubapa berlepas tangan kepada pihak sekolah sahaja.
Nak mengejutkan dia awal pagi merupakan cabaran pertama. Setakat ini alhamdulillah walaupun kena sabar sedikit, dan harapnya semakin mudah la hendaknya dia nak bangun pagi. Kemudiannya perlu 'mengajak' dia untuk solat subuh. Baru tujuh tahun, belum boleh marah apatah lagi rotan. Termanya ialah 'mengajak'. Kalau ada yang nak berkongsi tips dalam hal ini amat dialu-alukan.
Adik juga menerima tempias. Dia yang biasanya bangun paling lambat kini seolah-olah 'terpaksa' bangun awal. Kesimpulannya, semua perlu menyesuaikan diri dengan rutin waktu pagi yang baru. Dan ini memerlukan kerjasama daripada setiap ahli keluarga.
Saya seronok, kerana boleh masuk pejabat lebih awal. Bagi saya, lebih baik masuk awal dan balik awal, daripada masuk lambat dan terpaksa balik lewat.