Kerana dirimu amat berharga

Thursday, December 10, 2009

Bicara semasa Taiping

Saja nak ulas berita dari Taiping di akhbar...

Berita I: Diserang Beruk Liar
Berita Harian hari ini melaporkan seorang pelajar diserang beruk liar di sebuah taman perumahan. Adakah beruk di Taiping semakin ganas dan berani? Beruk-beruk ini juga semakin banyak memasuki kawasan atau 'territory' manusia dan membuat kacau. Kenapa?

Taiping lanskapnya berlatarbelakangkan Banjaran Bintang di mana letaknya Bukit Larut atau 'Maxwell Hill'. Kawasan ini ditumbuhi hutan yang hijau dan subur, habitat bagi segala flora dan fauna. Di kakinya juga terletak Taiping Lake Garden.

Namun kini banyak kawasan tanah dibuka untuk perumahan. Bukit-bukau ditarah sehingga 'dogiang' demi pembangunan. Kedai-kedai naik seperti cendawan. Sekitar Kem Kamunting, tempat abah bekerja dulu, hijau dengan hutan dara sehingga ke kaki bukit larut. Sekarang telah diteroka, merah tanahnya menanti bangunan dibina. Saya juga perhatikan pekan-pekan kecil seperti Kamunting dan Simpang serta Air Kuning sehinggalah ke Changkat Jering seolah-olah akan bersambung dengan Bandar Taiping, yang dulunya dipisahkan oleh hutan dan belukar. Apa jua perancangan kerajaan negeri, harap mereka mengambilkira faktor alam sekitar.

Berbalik kepada kisah beruk. Memang menjadi tabiat beruk untuk turun dari bukit ke tanah rendah mencari makanan. Akibat perbuatan manusia 'menceroboh' habitat mereka, beruk terpaksa 'menjelajah' ke kawasan manusia untuk mencari makanan. Taman-taman yang bersempadan dengan 'territory' beruk dan monyet sudah 'mangli' dengan kehadiran beruk. Beruk dan monyet yang 'educated' sikit akan menyerang asrama MRSM Taiping dan juga SERATAS, betul-betul di kaki bukit larut. Nasib baik kawasan Kota tidak berjiran dengan kawasan beruk, tak tahu lah kalau ada kawanan monyet dan beruk yang sanggup melintasi bandar taiping untuk singgah di rumah... mungkin beruk makyeh...

Taiping Lake Garden and Maxwell Hill


Berita II: Ada lagi tak kena
Macam-macam ada di Negeri Serba Dua yang pernah mempunyai 2 MB dan 2 kerajaan ini. Ahli Parlimen Taiping yang 'glamour' itu dilaporkan di akhbar telah membangkit isu perbelanjaan kerajaan untuk pembinaan masjid pula di parlimen. Barangkali peruntukan untuk rumah ibadat mereka tak cukup berbanding peruntukan untuk pembinaan masjid.

Apa yang diperhatikan di Taiping, tokong dan kuil ada di merata-rata, termasuklah di kawasan strategik yang nilai tanahnya mungkin berjuta. Ada antaranya mempunyai kawasan yang kalau dikira boleh dibuat kawasan perumahan rumah kos rendah luasnya. Tanah perkuburan pula, katanya lebih tinggi lebih bagus. Luasnya mungkin seluas padang golf. Satu-satu lot pula tengok pada kekayaan, lebih banyak harta, lebih luas lot untuknya. Mungkin. Dalam dok tak dak peruntukan pun, buleh tahan jugak hebat depa ni noo...

Masjid diguna 5 kali sehari, bersolat Jumaat seminggu sekali. Kebanyakannya terselit di celah-celah kampung dan taman perumahan penduduk asal. Kawasan tanahnya kecil dari padang bola. Tanah perkuburan belum tentu ada dan elok, mungkin di tanah pamah, mungkin di kawasan paya. Tak cukup kubur, terpaksa ke qaryah yang ada tanah, mungkin jauh dari rumah, bayar lebih pun tak apa. Namun tak dinafikan di tempat lain ada masjid yang amat indah, tinggi belanja. Harap2 dapat diimarah.

Hmm... entahlah...

Thursday, November 26, 2009

Perginya Abah Tak Kembali Lagi

Malam Jumaat dua minggu yang lalu, merupakan malam terakhir abah bermalam di rumah. Malam yang dipenuhi dengan bacaan al-Quran. Tamu datang dan pergi dari malam hingga ke pagi, semata-mata untuk menjenguk wajah abah untuk kali terakhir. Abah tetap kaku di pembaringan, seolah-olah sedang tidur dengan amat nyenyak sekali. Terdetik juga di hati, "Abah, bangunlah!"

Kronologi ringkas kembalinya abah ke Rahmatullah

Abah selalu sihat. Dia tidak mengidap sebarang penyakit kronik; darah tinggi, sakit jantung, kencing manis; tiada. Abah dan mama selalu membuat pemeriksaan kesihatan. Cuma baru-baru ini paras kolesterol abah meningkat, sekitar 9 kalau tak silap. Abah diberi ubat, belum sempat dihabiskan.

Awal november abah mula demam. Hari Jumaat, 6hb Nov 2009, abah mula muntah-muntah. Apa yang dimakan akan keluar semula. Sepupu saya yang tinggal berdekatan, kebetulan masih bercuti setelah baru tamat pengajian perubatannya, membawa abah ke bahagian kecemasan Hospital Taiping. Darah diperiksa, didapati platelet rendah. Terus abah ditahan di wad, disangka demam denggi. Petang itu merupakan kali terakhir saya mendengar suara abah di telefon. Abah mengah, tak cukup nafas. Penat. Saya hanya nasihatkan abah supaya berehat dan makan ubat, kerana jika betul denggi, insyaAllah akan sembuh cepat.

Sabtu, 7hb Nov 2009, kakak saya memberitahu abah dimasukkan ke CCU. Jantung agak lemah. Bukan lagi denggi, tetapi siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti virus apa yang menyerang. Saya mula terlintas untuk pulang ke Malaysia.

Ahad, 8hb Nov 2009, sekali lagi menerima kejutan melalui telefon. Paru-paru abah berair, pneumonia. Abah semakin penat bernafas. Petang itu juga abah dimasukkan ke ICU. Setelah perbincangan panjang dengan doktor pakar, keluarga memberi keizinan, dan abah juga setuju untuk 'ditidurkan' dan diletakkan dengan bantuan respiratory serta life support. Saya terus berusaha mendapatkan tiket pulang ke Malaysia. Saya tiba di lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang pada 5.15p.m. hari Isnin, 9hb Nov 2009. Terus pulang ke Taiping bersama kakak ipar saya, menuju ke hospital.

Kelihatan abah 'tidur'. Tiub berselirat di sana-sini di badan abah. Abah tak pernah sakit teruk. Abah tak ada penyakit. Amat sukar untuk saya melihat keadaan abah di dalam bilik ICU dari cermin kaca wad itu. Susah untuk saya terima yang abah sakit teruk. Namun semangat saya masih kuat mengatakan abah akan sembuh. Kawalan ketat, namun staff nurse yang bertugas petang itu membenarkan saya masuk setelah diberitahu saya baru sampai dari Sydney. Saya pegang tangan abah. Suam. Saya terus membaca Al-Fatihah dan berdoa semoga Allah menyembuhkan penyakit abah. Cium pipi abah, cium dahi abah, bau abah masih sama. Saya bisik pada telinga abah, "Abah, saya dah balik. Abah mesti kuat. Abah kena lawan penyakit abah. Abah kena balik rumah!" dan saya terus keluar dari bilik ICU. Tak tahan melihat abah dalam keadaan begitu. Mama yang sudah beberapa hari berendam air mata, terpaksa mententeramkan anak bongsunya pula. Hiba...

Tidak banyak perubahan pada hari-hari berikutnya. Platelet abah meningkat. Demam sudah kebah. Renal output kelihatan sedikit baik walaupun masih belum pulih. Dos ubat untuk jantung abah juga sudah di-taper down. Hati anak-anak abah sedikit berbunga, penuh harapan. Abang pulang ke Penang kerana ada perkara penting di pejabat, setelah 'membaca' abah akan tetap sembuh. Akan tetapi doktor tetap mengatakan, 'I don't want to give you much hope'. Mungkin kerana jantung dan paru-paru abah masih tiada improvement. Liver enzyme juga meningkat. Virus masih belum dapat dikesan, dan tidak dapat dikesan sehingga ke akhir hayat abah. Broad spectrum antibiotic terus diberi kepada abah.

Khamis, 12hb Nov, seperti hari-hari sebelumnya, saya sampai di awal pagi. Staff nurse yg bertugas malam sebelumnya memberitahu abah kekurangan oksigen semalam, gasping. Dos oksigen dan tekanan bantuan respiratory dinaikkan. Abah kelihatan seolah-olah menarik dan menghembus nafas dengan kuat. 'He is getting worse,' kata doktor pada tengahari Khamis tersebut kepada kakak dan saya. Mama ketika itu di sofa berhampiran, menunggu khabar daripada anak2nya. 'Is your family around? It's better to get them around,' kata ketua doktor pakar perubatan pula. Saya dan kakak terkedu, menangis. Tak tahu bagaimana nak bagitahu mama. Kami menelefon abang, yang masih dalam perjalanan dari Pulau Pinang.

Saya pulang untuk mengambil isteri dan aiman yang berada di rumah. Dalam perjalanan, kakak telefon. Sambil tersedu, 'Doktor tengah buat CPR!' Saya faham maksud kakak. Abah kritikal. Saya memecut kereta abah kembali ke hospital, sempat juga menelefon Mak Tam supaya beritahu adik-adik mama yang lain2 di Taiping. Berlari ke wad, sesampai di situ beberapa orang doktor dan nurse di katil abah. Tirai ditutup, hanya kelihatan kaki abah yang bergoyang-goyang akibat tekanan yang diterimanya di jantung, usaha untuk 'revive' kembali jantung abah. Mama menekup muka di sofa. Kakak di cermin kaca, menangis. Seorang sepupu saya dan seorang lagi makcik saya berada di situ. Saya berdiri di muka pintu, mohon supaya mama dapat masuk dan berada di tepi abah. Tidak berjaya. Saya terus membaca ayat2 Al-Quran, sesekali saya azan perlahan di pintu ICU.

Saya memohon lagi untuk masuk, agar saya boleh bertalkin di telinga abah. Kali ini mama dan saya dibenarkan masuk. Saya terus menuju ke tepi kepala abah. "Laa Ilaaha Illa Allaah," berterusan saya talkinkan kalimah tauhid itu ke telinga abah, diselangi dengan doa nabi ketika melawat orang sakit. Mama memegang tangan abah, mukanya ke bawah. Saya tabahkan hati agar tidak mengikut perasaan, terus mengingatkan abah akan Tuhan Rabbul Jalil, Allaaaaaah!

Akhirnya, tepat jam 6.36 petang, 12hb Nov 2009, bersamaan 24 Zulkaedah 1430h, abah diumumkan telah kembali ke pangkuan Ilahi di usia 69 tahun. Masih jelas di ingatan, mama berkata, 'Kenapa abah pergi cepat sangat...' sambil mencium dan memeluk abah, sebelum keluar dan duduk di kerusi. Kakak dan abang serta saya masih 'bercelaru', tetapi saya terus bersabar dan mengingatkan bahawa ini ketentuan Tuhan. Hanya Tuhan yang tahu perasaan kami sekeluarga. Maksu, Maktam, Pakcik, Mak Uda dan keluarga serta beberapa lagi saudara-mara ada di situ.

Perginya abah tidak akan kembali lagi ke rumah ini


Urusan Jenazah

Abah dibawa pulang ke rumah malam tersebut. Urusan dibuat dengan panduan Hj Hussin, imam Masjid Al-Falah, juga sahabat2 abah yang terdiri dari ahli qaryah masjid juga. Jenazah abah disembahyangkan di Masjid Al-Falah tepat jam 10 pagi, dan di imamkan oleh anak abah sendiri.

Pagi Jumaat, 13hb Nov 2009 bersamaan 25 Zulkaedah 1430h, abah telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Asam Kumbang, Tekah. Abah meninggal malam Jumaat, dikebumikan di pagi Jumaat, sebelum solat Jumaat. Penghulu segala hari.

Semoga abah ditempatkan di kalangan para solehin. Semoga abah mendapat keampunan Allah. Semoga abah berbahagia di sana. Ya Allah, temukanlah semula keluarga kami di syurga. Ya Allah, tabahkanlah hati mama untuk menempuhi hidup tanpa abah, kerana mama adalah insan yang paling terkesan dengan pemergian abah... Al-Fatihah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails