Kerana dirimu amat berharga

Saturday, September 26, 2009

Makan Membawa Makna

Semasa di kelas Antropologi Pemakanan dulu, antara kata-kata pensyarah yang saya masih ingat berbunyi lebih kurang, "Kita bukan hanya makan makanan, tetapi kita juga memakan 'makna' makanan tersebut."

Kajian berkaitan dengan Food Insecurity, oleh kerana menyediakan serta berkongsi makanan keramaian merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial bagi sesetengah budaya, ia menjadi suatu bebanan bagi mereka yang tidak mampu. Ia menyebabkan tekanan dan akhirnya mengasingkan diri dan keluarga daripada masyarakat. Ini berlaku di New Zealand di kalangan kaum Maori.

Masa muda-muda dulu orang bertanya, "bila hang nak makan nasi minyak?" "Awat? kalau hang nak jom la aku bawak pi kedai," jawapan balasnya. Walaupun di majlis kenduri sekarang pelbagai variasi nasi dan lauk disediakan, namun ungkapan 'nasi minyak' lebih sinonim dengan majlis perkahwinan.

Di musim perayaan ini, sedar atau tidak kita masih terus makan walaupun perut dah naik ke dada. Kenapa? Sebab raya. Makanan yang tersedia itu membawa 'makna' kita sedang menyambut hari raya. Kuih dan biskut termasuklah maruku kalau ada, kita kategorikan semua sekali sebagai 'kuih raya'. Walhal kebanyakannya ada dijual sepanjang tahun.


Bergambar di depan Malaysia Hall Sydney selepas solat sunat Aidilfitri


Ketupat dan lemang, walaupun sekarang boleh didapati tak kira masa, namun bila tiba musim hari raya, ditambah pula kita memasaknya sendiri bersama keluarga, ia membawa makna Raya bersama. Bila bertandang ke rumah rakan dan jiran atau ke 'rumah terbuka', sebagai meraikan tuan rumah kita akan makan lagi dan lagi. Apa saja yang terhidang, baik laksa, lontong, nasi minyak, rendang, semuanya 'lauk raya'.

Kalau di Malaysia, mengadakan 'open house' lebih mudah kerana kita boleh mengambil perkhidmatan katering, atau kita boleh 'order' menu yang ada. Begitu juga kuih raya dan sebagainya, siap boleh di'order' sebelum puasa lagi. Tetapi beraya di perantauan memang mencabar skill memasak. Internet menjadi sumber rujukan. Bertukar-tukar resepi dan skill menjadi perkara biasa. Jikalau boleh semua nak buat, semua nak sedap, tapi nak cepat. Contohnya, masak pulut dalam microwave. Tak payah nak kukus atau rendam lama-lama, siap dalam beberapa minit. Menu wajib saya pastinya rendang pedas daging resepi ibunda.

Sudah seminggu kita di bulan Syawal. Kalau di Malaysia musim rumah terbuka, di Sydney juga tak kurang hebatnya. Nampak gaya berat yang turun 'sedikit' di bulan puasa diganti balik malah berganda. Raya kali ini saya masih belum jumpa laksa. Hari ini ada jemputan, dengar khabarnya ada laksa...

Friday, September 18, 2009

Berlalunya Ramadhan 1430h, Eid Mubarak!

Diam tak diam, hari ini telahpun masuk 28 hari kita berpuasa. Esok mungkin hari terakhir Ramadhan kali ini. Bagi kami sekeluarga, Ramadhan ini mungkin juga yang terakhir sebagai perantau ilmu di bumi Australia.

Alhamdulillah dengan adanya teknologi, walaupun jauh tetap dapat mendengar suara dan bertemu muka di alam maya. Akan tetapi tetap berbeza kerana tidak dapat bersama membuat ketupat dengan mama, memasang pelita di depan rumah, dan bermain bunga api bersama anak-anak buah. Apatah lagi bersalaman dan mencium tangan memohon kemaafan.

Mengenang kembali peristiwa-peristiwa sepanjang Ramadhan kali ini...
  1. Hari jadi tahun Hijrah Mama dan Abah yang ke 71.
  2. Masuk 2 Ramadhan, saya memotong rambut yang telahpun mencecah bahu, setelah beberapa bulan 'membela' rambut. Ramai yang bising suruh potong tapi saya diamkan saja. Ini adalah yang pertama dan terakhir, kerana rambut saya akan semakin berkurangan.
  3. Hari pertama puasa telahpun ada jemputan berbuka. Ini diikuti dengan hari-hari seterusnya baik 'mid-week' mahupun 'weekend'. Alhamdulillah, rezeki. Majlis berbuka dan terawih di rumah sendiri juga meriah.
  4. Dua rakan seperjuangan telah pun pulang ke Malaysia setelah tamat pengajian PhD mereka; Asiah & Zahid serta anak mereka Syifa', dan juga Abg Hasan & Kak Linda. InsyaAllah kami akan menyusul....
  5. Terpaksa ke immigration office untuk memperbaharui visa. Boleh buat secara online, tetapi terlewat sehari saja maka perlu ke HQ membawa borang2 tersebut. Hasilnya, kami berbuka puasa di China King Noodle, restoran mee yang baru dibuka di City.
  6. Alhamdulillah dapat juga tidur di masjid kali ini, selepas bertahun-tahun Ramadan berlalu tak berkesempatan. Tapi yang lecehnya, malam tu saya mengingau dan menjerit kuat sampai bilik sebelah pun terdengar. Haru sungguh! Jin masjid cuba 'mengusik' barangkali.
  7. Isteri saya terlebih rajin buat kuih raya tahun ni. Lebih dari 2 jenis tu kira rajin lah.
  8. Aiman semakin banyak bercakap, ayatnya semakin lengkap. "Babah puase, aiman tak puase. Aiman small lagi", katanya setiap kali saya menolak aiskrimnya yang cuba disumbat ke mulut saya.




Pic 1: Aiman ketika di lapangan terbang Sydney, menghantar Syifa pulang ke Malaysia.























Pic 2: Biskut nestum.















Pic 3: Biskut Arab. Balang dah 'clear', tolong buat lagi ya.















Pic 3: Aiman berjaya duduk diam sepanjang bacaan ayat2 suci oleh Al-Hafiz Ust Mohd Trimizi.











Pic 4: Buat keluarga Allahyarham Haji Mahmood bin Ishak, 2 Syawal tahun ini genap 15 tahun pemergian wan ke Rahmatullah. Terjumpa teh ni di Lakemba.













Pic 4: Masjid Imaan, masjid melayu di Arncliff, Sydney. Asalnya sebuah gereja lama. Bangunan baru bersambung dengan bangunan ini menjadikan masjid ini lebih luas.









SAYA MENGAMBIL KESEMPATAN MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI KEPADA IBUBAPA DAN KELUARGA DI TAIPING SERTA MERTUA DI GOMBAK, DAN JUGA SEMUA PENGUNJUNG BLOG INI. MOHON RIBUAN AMPUN DAN MAAF ATAS SEGALA SALAH SILAP KAMI.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails