Kerana dirimu amat berharga

Tuesday, September 16, 2008

Separuh Ramadan berlalu

Sedar tak sedar telah dua minggu kita berada di bulan Ramadan yang mulia. Bila dilihat semula kebelakang, adakah tercapai segala azam kita pada awal permulaan Ramadan? Apakah kita mampu mengkhatam seluruh isi Al-Quran setibanya penghujung Ramadan kelak? Bagaimana pula pengisian harian kita di hari-hari yang penuh barakah ini? Bagaimana pula malam-malam Ramadan yang telah berlalu, adakah dimanfaatkan atau kita terus dibuai mimpi, terlena dalam kedinginan malam yang mengulit diri? Adakah kita masih terus menonton TV yang penuh dengan rancangan-rancangan yang tidak mendatangkan faedah kepada kita dan keluarga kita, bahkan mungkin boleh mendatangkan mudarat? Adakah kita berjaya mengawal mulut kita daripada berkata-kata perkara yang tidak baik, mengumpat dan bercerita hal orang? Bagaimana dengan telinga kita, mata kita, kaki kita kemana melangkah? Apatah lagi berada di negara kulit putih, yang mana majoriti umatnya tidak mengamalkan ajaran yang dibawa oleh Rasul kita Muhammad S.A.W., godaan dan cabaran sentiasa berada di sekeliling kita tanpa diundang, terkadang begitu mudah kita tersasar daripada matlamat berpuasa tanpa kita sedari.

Salah satu perkara yang kita sering terlepas pandang ialah betapa pentingnya menjaga makan minum kita sepanjang bulan puasa ini. Tubuh badan kita adalah amanah Allah, maka menjaganya adalah perkara yang wajib ramai yang tidak sedar. Tidak dinafikan bagi sesetengah orang bulan puasa dijadikan sebagai bulan untuk mengurangkan berat badan. Berlainan pula dengan sesetengah yang lain, bulan puasa menyebabkan berat badan mereka bertambah. Ini memang mudah berlaku sekiranya waktu berbuka puasa dijadikan ibarat waktu menjamu selera semahunya, makan sebanyak yang boleh. Sebaiknya berbuka dimulakan dengan makanan yang manis, tamar merupakan yang terbaik dan ia juga sunnah nabi. Tamar atau lebih dikenali sebagai buah kurma bukan sahaja mengandungi gula, tetapi juga terbukti mempunyai khasiat serta kandungan nutrien yang penting untuk tubuh badan. Dengan memakan benda-benda yang manis terlebih dahulu, ia dapat merangsang perut untuk mula beroperasi setelah seharian berehat dengan merembeskan enzim-enzim pencernaan. Ini penting agar perut tidak 'terkejut' dengan kedatangan makanan-makanan berat dan pedas lagi berlemak yang mana merupakan makanan yang disukai oleh masyarakat Melayu kita. Selain dari itu, minumlah segelas air untuk menambah semula kandungan cecair badan yang hilang di siang hari.

Sebaiknya selepas menunaikan solat Maghrib, berulah mula menjamah makanan berat seperti nasi. Makanan yang kita makan perlu mengandungi komponen karbohidrat seperti nasi dan mee serta roti; protein terutamanya ayam, ikan dan daging, yang juga mengandungi lemak perlu untuk tubuh; serta serat dengan adanya sayuran dan buah-buahan. Sayuran dan buah-buahan juga perlu untuk membekalkan vitamin dan mineral. Air perlu diminum sepanjang malam untuk mengganti semula air yang hilang dari badan serta mengelak sembelit.

Waktu sahur juga perlu dimanfaatkan sebaiknya. Sahur penting untuk menyediakan tubuh badan kita dengan tenaga bagi meneruskan aktiviti seharian kita di siang hari berikutnya. Sebolehnya, makanlah makanan yang dapat membekalkan tenaga secara perlahan dan lebih lama dengan mengambil makanan berfiber seperti roti wholemeal dan beras perang. Bagi mereka yang tidak mempunyai selera di awal pagi, kurma dan susu sudah memadai. Sesungguhnya pada makanan sahur itu ada barakah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails