Kerana dirimu amat berharga

Wednesday, October 29, 2008

Buah oh Buah!

Dengan teknologi yang canggih serta sistem pengangkutan yang pantas di darsa warsa ini, boleh dikatakan semua jenis buah-buahan bermusim boleh didapati sepanjang masa di mana-mana ceruk rantau di dunia ini. Namun begitu, tidak ada yang lebih nikmat daripada merasai keenakan memakan buah-buahan segar yang tidak melalui proses pengawetan atau penggunaan hormon. Lebih-lebih lagi mengecapi kemanisan buah-buahan yang masak di pokok. Bagi mereka yang peka dengan alam sekitar dan mementingkan kesegaran, buah-buahan tempatan adalah yang terbaik.

Bagi peminat buah-buahan yang berada di negara empat musim, musim panas merupakan masa yang amat dinantikan. Ini kerana pada musim ini pelbagai jenis buah-buahan boleh didapati dengan harga yang murah. Di Australia, musim bunga telahpun bermula, dan bunga-bunga ini akan berkembang menjadi buah-buahan yang enak di musim panas kelak. Walaubagaimanapun, beberapa jenis buah telah pun mula dijual, dan harganya semakin murah. Antara yang mudah didapati ialah buah peach, nectarine dan aprikot.

Buah-buahan ini terdiri daripada keluarga yang sama iaitu prunus dan ia mempunyai ciri-ciri yang hampir sama seperti isi yang lembut dan berair serta mempunyai satu biji atau stone/pit di tengahnya. Mereka juga dikenali sebagai stone fruits.

Buah peach kadangkala disebut sebagai queen of fruits, merupakan buah yang cantik. Kulitnya mempunyai bulu-bulu halus seakan-akan baldu dan berwarna kuning kemerahan. Isinya ada yang berwarna putih dan ada yang berwarna kuning. Buah yang cukup masak mengeluarkan bau yang harum.

Buah nectarine kelihatan seakan-akan peach, namun kulitnya licin dan tidak berbulu. Saiznya kecil sedikit berbanding peach. Walaupun bau dan rasanya seakan-akan sama dengan peach, ia lebih berasid daripada peach dan isinya berwarna kuning, putih atau kadangkala pink.

Buah yang kurang ranum boleh digrill diatas api atau dicelur di dalam air panas. Namun peach dan nectarine lebih enak dimakan mentah. Semasa memilih buah-buahan ini, tekan sedikit untuk memastikan ianya tidak terlalu keras, tetapi jangan terlalu lembik. Ia tidak tahan lama dalam simpanan. Buah yang belum ranum boleh disimpan pada suhu bilik untuk dibiarkan lembut selama 1-2 hari. Buah yang masak boleh disimpan di dalam peti sejuk dan dibungkkus dengan plastik. Basuh buah sebaik sahaja sebelum memakannya, tidak perlu basuh sebelum disimpan kerana kelembapan akan menyebabkan isinya melembik dengan lebih cepat.

Sejenis buah lagi dari keluarga yang sama ialah apricot. Buah ini lebih kecil berbanding peach dan nectarine dan baunya harum apabila masak ranum. Warna kulitnya kuning-jingga dan sedikit berbulu halus dengan bayangan merah jambu apabila masak. Isinya tidak lembut seperti peach dan nectarine, manis dan harum, serta mempunyai hanya sedikit air. Apricot tidak terus masak jika diperam, oleh itu pilih buah yang betul-betul masak dan boleh dimakan terus. Elakkan membeli buah yang masih mempunyai warna hijau atau yang telah mula berkedut.

Buah-buahan ini semulajadinya kaya dengan vitamin terutama vitamin A, B dan C serta mempunyai kandungan kalori yang rendah. Selain dari itu ianya juga membekalkan fiber atau serat yang amat diperlukan oleh tubuh badan. Buah-buahan segar lain yang boleh didapati dengan mudah dan murah di musim ini ialah plum, prun, ceri, pelbagai jenis anggur serta mangga. Nikmatilah buah-buahan ini kerana anda pasti akan merinduinya kelak apabila ianya menjadi berkurangan dan semakin mahal, lebih-lebih lagi apabila anda telah pulang ke tanah air!






No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails