Hari ini di Malaysia adalah hari kedua Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Ia merupakan peperiksaan 'besar' pertama bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Istimewa pada tahun ini, dua orang anak saudara saya mengambil UPSR. Haris, anak kakak, dan Yana, anak abang. Mereka merupakan anak saudara yang pertama dan kedua saya, daripada 6 orang kesemuanya. All the best to both of you!
Saya pasti keputusan peperiksaan yang bakal menyusul akan menghasilkan ratusan atau mungkin ribuan pelajar yang mendapat straight A's. Barangkali terlalu ramai pelajar yang pintar zaman sekarang ni, sehingga memerlukan persaingan yang hebat bagi merebut tempat ke sekolah-sekolah berasrama penuh di Malaysia. Tak cukup dengan pencapaian akademik, aktiviti ko-kurikulum juga menjadi ukuran.
Banyak juga kenangan di zaman sekolah rendah yang sentiasa di ingatan. Antaranya, sewaktu minggu pertama dalam darjah satu, seorang rakan 'membuang air' di dalam seluar. Riuh rendah satu kelas. Saya ditempatkan di kelas merah dari darjah satu hingga darjah enam, meneruskan tradisi kelas merah dari tadika lagi. Malah rumah sukan juga rumah merah. Cikgu Aziz merupakan guru kelas ketika darjah satu hingga darjah tiga. Dia seorang guru yang baik. Mungkin kerana penyakit, dia sering tersengguk-sengguk mengantuk ketika menanda buku, sehingga habis dakwat merah bercontengan. Dari darjah empat hingga enam, Puan Chua menjadi guru kelas. Tegas, sesekali memegang rotan di tangan. Ustazah Fauziah pula mengajar agama, Cikgu David Lee mengajar muzik, dan ramai lagi. Ada yang telah kembali ke rahmatullah. Cikgu Lee Toh Beng, guru besar sekolah yang dalam ingatan saya selalu berpakaian serba putih, selalu membawa rotan di tangan walaupun dia seorang yang lemah lembut. Salah seorang cikgu yang mengajar kami pendidikan jasmani yang saya lupa namanya, tetapi masih ingat dia memarahi kami di padang dengan berkata, "Lu tutuk tiam tiam!"
Saya mengambil UPSR 17 tahun yang lalu di SRK St George 2, Taiping. Abang saya, yang 11 tahun lebih tua dari saya, juga menghabiskan zaman sekolah rendah di sekolah yang sama. Bezanya, pada zaman abang, bilangan pelajar yang cemerlang dengan mendapat A dalam semua matapelajaran boleh dibilang dengan jari. Nama abang saya 'terpahat' pada sebuah papan, antara yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam Penilaian Darjah Lima pada zamannya. Juga aktif dalam sukan (tidak seperti adiknya ini yang mempunyai dua kaki kiri, hehe), guru-guru juga masih mengingatinya. Pada era 90-an, jumlah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang semakin ramai. Jika nama mereka mahu dipahat dan dibuat peringatan, mungkin memerlukan sebelah papan hitam!
Daripada 10 orang adik beradik mama, 6 orang menjadi pendidik, baik di sekolah rendah, menengah serta maktab. Hanya maksu dan mak uda yang masih bekerja, yang lainnya sudah 'pencen'. Pendidikan memang amat dititikberatkan dalam keluarga, termasuk pemilihan sekolah. Sewaktu memikirkan ke mana halatuju saya untuk ke sekolah menengah, saya mempunyai tiga pilihan. Pilihan pertama, teruskan pelajaran ke Sekoleh Menengah St George, Taiping. Saya juga mendapat tawaran ke Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI). Jikalau tak silap ada dua pelajar sekolah saya yang ditawarkan ke SEMESTI. Dan ketiga, saya juga berjaya mendapat tempat ke Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar. Abah dan mama memberi sepenuh kebebasan untuk saya memilih. Seterusnya, bermula perjalanan saya berkelana menuntut ilmu. Saya menghabiskan pengajian menengah rendah di Madrasah Idrisiah sehingga Penilaian Menengah Rendah (PMR).
To Haris and Yana, do try your best. Jadi contoh untuk adik-adik. Jangan lupa doa pada Allah setiap kali solat. Paksu dan Maksu sentiasa doakan kejayaan semua.
Salam...
ReplyDeleteAzdie, mengapakah entry ni bergaris2? Ada ada simbolik di sebaliknya?
Atau mungkin juga cuba mengimbau kenangan lama menulis atas kertas sambil meletakkan pembaris supaya tulisan tidak bengkang bengkok? :p
hehe, ntah lah kenapa. Aku dah betulkan tu.
ReplyDeleteTulisan aku memang teruk. Mak aku selalu suruh aku buat latihan tulisan. Pastu ada buku yang garis merah-biru tu, kita buat corak2 ulang2.. kekeke.
Kini, menjadi pelajar cemerlang sudah menjadi perkara biasa. Kualiti dan ketekunan pelajar semakin meningkat. Kerana mereka membina kesedaran bahawa persaingan ke IPTA semakin sengit, mereka akan berusaha menjadi pelajar terbaik di kalangan kumpulan pelajar cemerlang.
ReplyDeleteBetul tu, persaingan menuntut usaha yang gigih. Anak saya baru 2 tahun, tak dapat bayangkan bagaimana situasi pendidikan yang akan dia tempuhi kelak.
ReplyDeleteLa, hang pernah dpt offer semesti ghupenye,.. he he. Sekolah yg kadang-kadang tak cukup air. Hang cerita pasai upsr ni teringat zaman2 muda-muda dulu. Dah tua rupanya.. (jiwa muda tapi)
ReplyDeleteed, kalau tak kita satu sekolah la noo. Alah sekolah aku pun sama, selalu je mandi kat paip bomba.
ReplyDeleteSaya juga pernah melalui zaman UPSR.. hajat di hati mahu score 5A namun terkandas beberapa A.. maka kuranglah A.
ReplyDeletesemoga kita dapat mengejar ramadhan yang berbaki.