Kerana dirimu amat berharga

Friday, February 11, 2011

Berdagang Dalam Beragama

Beberapa minggu lalu saya menonton cerita Sri Mersing di Astro. Sanggup menunggu hingga akhir cerita semata-mata nak dengar dialog Damak dengan Pak Malau...

Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang hamba mengkuang layu
Dagang Pak Malau dagang bertempat
Dagang hamba musafir lalu

Akhirnya Damak merajuk juga dengan Pak Malau, lalu berperahu kembali ke Pahang. Tinggallah Seri menangis di Mersing mengenangkan Abang Damak yang sanggup meninggalkannya.

Seperti Damak, saya juga berada di tempat orang, mula-mula rasa terasing, kemudian mula berasimilasi dengan masyarakat setempat. Alhamdulillah, bak kata Little Einsteins, Mission Completion!


Berdagang kerana Beragama
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W, "Sesungguhnya Islam bermula dalam keadaan dagang (asing). Dan (akan sampai masa) ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing".

Dagang yang dimaksudkan bukanlah membawa perniagaan, tetapi lebih kepada kiasan. Zaman dahulu, pedagang biasanya orang asing yang datang berniaga ke tempat kita, foreigners. Orang luar juga biasanya dipandang sepi dan menjadi mangsa tuduhan andainya berlaku sesuatu yang buruk di tempat itu, macam Damak di Mersing.

Mengimbas sejarah, Islam bermula di Mekah dan dipandang asing dan pelik, sehingga membawa kepada peristiwa hijrah keluar ke Madinah.  Kemudian bermula daripada peristiwa Fathu Makkah, Islam terus tersebar hingga dikatakan berjaya menakluk 2/3 dunia. Islam menjadi the way of life. Bukan sahaja para ulama', bahkan saintis serta semua profesion ketika itu 'arif tentang Islam. Semenjak kejatuhan khilafah, Islam kembali menjadi asing dan dianggap 'ganjil' serta ditakuti di seluruh dunia, dianggap menjadi punca masalah seperti terrorism, gender inequity dan sebagainya.

Di hujung hadis di atas, ketika Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang dagang?" Nabi menjawab, "Orang-orang yang melakukan kerja pembaikan apabila manusia telah rosak

Zaman kedua 'keterasingan' Islam ini lebih teruk. Ini kerana ramai individu muslim sendiri yang merasa pelik dan ganjil melihat orang Islam lain cuba mengamalkan tuntutan agama serta beriltizam untuk memartabatkan Islam. Bila ada yang mula mendekati masjid, ada pula yang perli 'dah nak jadi ustaz ker..'. Cuba anda berjubah dan berserban ke Midvalley, sudah pasti ramai yang memandang seolah-olah anda mempunyai hidung yang terbalik, lubang dok di atas. Atau ada yang menyangka anda seorang pengganas. Tetapi cuba llihat sekeliling, ramai yang 'bertelanjang' tak cukup kain, 'bercupak-cupak' jelas kelihatan. Namun tiada yang merasa pelik atau malu dan kecewa walaupun ianya jelas bertentangan dengan syariat. 

Yang paling penting bukanlah pakaian luaran seperti berjubah dan berserban, tetapi berakhlak dengan akhlak mulia. Pun begitu, ada pula tuduhan menjadi alim, contohnya jika anda menolak rasuah, 'sejak bila pulak hang jadi alim ni...'


Dalam hadis yang lain;

Anas r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda,"Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api". 

Alhamdulillah di negara kita, kita masih bebas untuk mengamalkan Islam. Namun bibit-bibit permulaan menuju ke arah zaman seperti yang disebutkan oleh Nabi itu telah pun kelihatan. Dan benarlah kata-kata Rasulullah...

Semoga kita terlindung daripada ujian dan fitnah akhir zaman

: : Minggu depan kita akan menyambut Maulidurrasul. Mari menambah kecintaan kita pada Rasullullah dengan cuba menghidupkan dan mengamalkan sunnahnya.

6 comments:

  1. byk sunnahnabi yg kita xtau, yg senang je nak ikut.
    kena cari lagi ni

    ReplyDelete
  2. isabelle, yg kita dok buat hari2 pun ada, tapi kita tak sedar. contoh mcm makan dengan tangan, pastu jilat jari.

    ReplyDelete
  3. asimilasi bukanlah sehingga mengambil semuanya...tanpa mengira baik buruk atau ditengah agama.

    macam kita ni..
    skrg roti canai dan tosei org Melayu lagi sedap
    org cina pun dah pandai buat nasi lemak
    tapi budaya sendiri kita/mereka tetap diamalkan..


    masalahnya ramai yg suka ikut yang negatif
    ???

    ReplyDelete
  4. IE, sebab yang negatif itu menyeronokkan dan selari dengan hawa nafsu. Cuba banding rancangan Mari Menari dengan Tanyalah Ustaz, mana lebih ramai penonton? Baju longgar menutup aurat vs t-shirt dan jeans ketat, mana yang lebih ramai umat? hmmm...

    ReplyDelete
  5. So agree with you...2nd last paragraph tu. Teruskan usaha anda mengingati orang lain..

    ReplyDelete
  6. TK, mengingati diri sendiri ini terutamanya, yg kadang kala juga lupa.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails