Dia membuat keputusan untuk mengikuti saya ke Wollongong selepas saya mengusiknya, "Abang ada temujanji dengan imam 'Omar Mosque' petang ni, dia kan boleh nikahkan orang." Memang benar, Syeikh Abdul Rahman telah banyak menikahkan para pelajar di sekitar Wollongong.
Sengaja saya mengusiknya kerana malam sebelum itu kami terdengar berita atau 'gosip' mengenai ada kenalan yang menyambung pelajaran di luar negeri, meninggalkan anak dan isteri di tanah air. Dalam keadaan 'single' itu, dia dikatakan amat akrab dengan seorang pelajar wanita yang tinggal se-asrama dengannya. Tak perlulah diceritakan secara terperinci, cukuplah dijadikan panduan dan teladan. Memang pepatah mengatakan 'sayangkan isteri tinggal tinggalkan'. Akan tetapi, di zaman moden ini kita masih boleh berhubungan setiap hari baik melalui telefon, 'teleconference' dan sebagainya dengan murah, kadang-kala percuma. Bukan setakat mendengar suara, malah boleh melihat wajah rupa secara'live'. Jadi rasanya 'long distance relationship' bukan menjadi masalah besar bagi pasangan yang terpaksa berjauhan untuk jangkamasa tertentu.
Alang-alang berjalan
Selesai pertemuan saya dengan tok imam, eh silap! Dengan Ms Delma Boland dari Warrawong Community Kitchen untuk membincangkan mengenai perancangan aktiviti penyelidikan saya yang seterusnya, kami bergerak ke North Beach, Wollongong. Teringin nak berendam di dalam air laut yang dingin itu, tetapi cuaca terlampau panas walaupun jam sudah hampir 4 petang. Aiman pula terlena di dalam kereta, keletihan barangkali kerana bermain dan berjalan sewaktu menunggu abah selesai tugas. Maka kami pun bertamu ke Bald Hill, Stanwell Park dalam perjalanan pulang ke Sydney.
Pemandangan dari situ amat menarik. Dari jauh kelihatan 'The Sea Cliff Bridge', jambatan bengkok menghubungkan Lawrence Hargrave Drive yang asal di lereng bukit. Jambatan ini juga penting kerana ia menghubungkan Stanwell Park, yang dikelilingi laut dan gunung, dengan 'suburbia' lain sepanjang laluan pantai hingga ke bandar Wollongong. Jambatan ini dibina jauh daripada lereng bukit dan laluan asal kerana terlalu banyak kejadian runtuhan batu di jalan yang asal yang menyebabkan kemalangan.
Aiman begitu riang berlari-larian, tetapi perlu diawasi sentiasa. Tebing bukit yang curam dan terus menuju ke laut luas, gerun melihatnya. Penuh kamera dengan gambar anak isteri. Diri sendiri hanya banyak menjadi 'camera man' yang setia, betapa kasihnya pada keluarga. Seronok juga sesekali mengusik isteri, cemburu tandanya sayang!