Kerana dirimu amat berharga

Sunday, August 23, 2009

Hari Pertama Ramadhan

Alhamdulillah, hari pertama Ramadhan telah pun kita tempuhi. Syukur kepada Allah kerana diberi kesempatan kepada kita untuk sampai kepada Ramadhan kali ini, untuk menghirup udaranya, menikmati malam-malamnya yang penuh kerahmatan, serta siang-siangnya yang penuh dengan ujian kesabaran, perlu diisi dengan keinsafan.

Hari pertama berpuasa, sudah ada jemputan berbuka. Hari ini, kami berbuka di Blacktown, di rumah keluarga seorang permanent resident yang berasal dari Singapura. Abg Ghazali telah menetap lebih 10 tahun mencari rezeki dan membesarkan anak-anak di bumi Australia, lebih tepat lagi di bandaraya Sydney. Alhadulillah, semoga tuhan memberikan ganjaran dan memberkati mereka sekeluarga.

Majlis dihadiri ramai tetamu, daripada para pelajar, pegawai MSD, dan juga beberapa PR yang lain. Berbuka puasa dengan buah kurma dan segelas air teh 'O', kami menunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah di backyard rumah. Siap dihampar dengan hamparan tebal yang kedap haba beserta sejadah di atasnya, kami bersolat di dalam kedinginan penghujung musim sejuk. Lebih selesa berkain pelekat, mujur saya beringat untuk memakai seluar beserta selapis T-shirt tebal di dalam baju melayu. Jikalau tidak, mungkin saya akan menggeletarrr kesejukan di dalam 'air-cond' percuma yang Allah berikan kepada penduduk di Sydney ini.

Seusai solat, kami pun menjamu selera. Pelbagai juadah tersedia terdiri daripada kuih muih yang beraneka macam, seri muka, nasi ayam, gulai daging bercicah roll bun, kerabu mangga, pasta dan banyak lagi, hingga tak terasa semuanya.

Masuk waktu Isya', kami sekali lagi ke luar. Di sambung dengan solat tarawih. Hujan renyai turun seketika sewaktu di rakaat ke-6 tarawih, sekadar mahu menguji sama ada kami akan meneruskan solat atau lari masuk ke dalam rumah. Namun diteruskan juga dan hujan turut berhenti. ALhamdulillah, selesai hingga ke witir. Kemudian, kami sambung makan lagi, sehinggalah masing-masing beransur pulang meminta diri.

Inilah suasana masyarakat Melayu sekitar Sydney di hujung minggu di bulan Ramadhan.

3 comments:

  1. Teringat pulak waktu di Adelaide dulu. Bulan puasa cukup meriah. Selalu ada jemputan iftar dari permenant residences. Terdiri dari pelbagai bangsa tapi satu agama..Macam2 menu jumpa..hehehe..Para pelajar yang paling seronok sekali sebab tak payah masak dalam bulan puasa. Kalau tak ada yang menjemput, pergi saja ke masjid, juadah free sentiasa ada.

    ReplyDelete
  2. Di tanahair ada solat tak berbaju.

    ReplyDelete
  3. Kak Tirana,
    begitulah, student yg masih single yang paling seronok, makan free sebulan. Tak kat rumah orang, kat surau, tiap2 malam ada iftar. 2nd night saya buat kat rumah saya.

    Pok Li,
    panas punya pasal. Teringat Pak Teh dan abang saya, suka solat dgn kain pelekat saja.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails