Cuti-cuti sekolah ni, ramai orang ambil kesempatan buat kenduri kahwin, termasuklah beberapa orang sahabat saya. Esok salah seorang sepupu saya akan bertunang. Minggu sudah adik wife saya mengikuti rombongan merisik ke rumah calonnya. Dua-dua lelaki. Satu pilihan sendiri, satu pilihan keluarga. Saya doakan perancangan kedua-duanya akan berjalan lancar, sementara menunggu hari disatukan nanti. Orang kata time ni darah manis. Tak tau lah apa maksud sebenarnya.
Tujuan berkahwin bukanlah sekadar untuk menghalal antara seorang lelaki dengan seorang perempuan, malah matlamat utamanya ialah menuju syurga. Banyak perkara yang kita perlu pelajari dan bersiap sedia sebelum dan selepas berkahwin. Begitu juga banyak lagi yang akan kita pelajari melalui proses pengalaman selepas berkahwin. Antara yang boleh saya tuliskan sedikit di sini tentang tugas dan tanggungjawab seorang suami :
1. Ketua keluarga.
Nama pun ketua, maka dalam banyak hal, dia perlulah mengetuai atau mendahului. Sebagai persediaan, perlulah dia mempunyai ilmu yang cukup untuk menjadi ketua. Antara yang penting ialah menjadi ketua ketika solat, imam lah tu. Mana boleh nak tolak bini ke depan untuk jadi imam ketika solat.
2. Pembuat keputusan atau Hakim
Suami isteri perlu sentiasa berbincang dalam segala hal. Kata pepatah, sepakat membawa berkat. Namun keputusan terakhir berada pada suami, membuat keputusan dan bertanggungjawab keatasnya. Namun untuk menjadi seorang pembuat keputusan yang adil juga memerlukan ilmu yang cukup. Kalau kita biasa beranggapan konsep sama rata itu adalah adil, itu sebenarnya silap. Contoh mudah, kalau kita ada beberapa orang anak, untuk bersikap sama rata katanya, kita membelikan beg sekolah Doraemon untuk semua anak2 kita, baik yang di tingkatan lima mahupun yang di darjah satu. Nampak kurang adil di situ kan. Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Di sinilah perlunya pertimbangan jitu seorang suami atau ayah. Kalau ianya tiada hubungan dengan hukum syariat, maka lebih mudahlah untuk membuat keputusan. Tapi apabila berkait dengan syariat, perlu dinilai berdasarkan hukum sebelum membuat keputusan. Contohnya, apabila berlaku pertembungan antara kepentingan ibu dengan isteri, maka seorang anak lelaki mesti mengutamakan ibunya dahulu. Jangan dah dapat isteri cantik dan kaya, ibubapa dipinggirkan.
3. Berijtihad
Dalam keadaan tertentu suami atau ayah juga perlu berijtihad demi kemaslahatan 'rakyat' di bawah tanggungannya. Satu contoh, suatu hari kita sekeluarga pergi melancong. Tiba di hotel, waktu asar sudah hampir luput. Negeri orang putih pulak, bilik hotel tidak disediakan penunjuk arah kiblat. Kompas kiblat pula terlupa nak dibawa. Handphone pulak kodi, tiada kompas. Maka pada ketika itu menjadi tanggungjawab suami untuk menggunakan segala ilmu dan kemampuannya untuk berijtihad menentukan ke mana perlu mengadap untuk menunaikan solat. Begitu juga dalam memastikan makanan yang masuk ke dalam rumah dan dimakan ahli keluarga sama ada halal atau tidak, di bawah tanggungjawab suami. Tapi kalau si suami itu jahil, zero, nehi, macamana ya...
4. Memberi nafkah
Jangan dok ingat nafkah ni yang batin ittew saja. Yang utama lagi ialah makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Walaupun isteri kaya meliana (milionnaire kata orang putih), nafkah adalah wajib keatas suami. Makan minum untuk sehari semalam mengikut kebiasaan setempat, pakaian sepersalinan setiap tahun ikut keperluan, dan tempat tinggal yang selayaknya. Nafkah ini hanya gugur sekiranya isteri kata, "takpalah bang, saya gugurkan hak nafkah makan pakai saya, biar saya beli sendiri." Nafkah yang seringkali kita terlalai ialah nafkah emosi, di mana suami perlu memberikan rasa ketenangan, kebahagiaan dan rasa selamat selama berada di sisi kita, di rumah kita.
|
Pada usia rumahtangga yang baru mencecah 6 tahun, masih banyak yang perlu kami dipelajari. |
|
|
|
|
|
| | | |
5. Pembimbing dan pendidik
Ini merupakan tugas dan tanggungjawab yang penting. Suami perlu mendidik dan membimbing isteri dan anak-anak tentang segala hal; duniawi dan ukhrawi. Saya terpaksa belajar semula fiqh wanita, yang sebelum ini saya tak ambil kisah. Ialah, kita lelaki ambil tahu hal lelaki je lah. Tapi lepas kahwin, kena tahu pasal hukum haid, nifas, wiladah dan sebagainya. Suami juga mesti menjadi suami yang soleh kepada isteri dan anak yang soleh kepada ibunya sendiri, untuk persediaan mendapatkan isteri yang solehah dan anak-anak yang soleh dan solehah. Andaikata suami kurang ilmu, maka hendaklah sedaya upaya menuntut ilmu dan menyampai serta amalkan dalam keluarga.
Banyak lagi perkara yang hanya akan kita pelajari dan ketahui as the time goes by. Ternyata, ia bukanlah suatu yang mudah yang kita boleh go with the flow. Sebagai kesimpulan, untuk berjaya dalam institusi perkahwinan memerlukan kepada ilmu dan persediaan diri yang cukup. Berbagai cara mencari ilmu pada zaman sekarang; buku, kuliah, ceramah, kelas pengajian, internet; terpulanglah. Sebagai permulaan, wujudkan rasa MAHU dulu, kemudian akan datang USAHA atas MAHU. Perubahan dalam kehidupan pasti akan berlaku. Kejayaan mutlak seorang suami dan ayah ialah apabila dia berjaya membawa bukan sahaja dirinya ke syurga, malah seluruh ahli keluarganya bersama.
You have made a choice to get married, now you have to make it work. Selamat bertunang dan selamat mendirikan rumahtangga!
:: Sebagai peringatan untuk diri sendiri terutamanya.
:: Ada orang mintak saya bagi sepatah dua kata untuk adik-adik ni, tapi saya reti nak bagi nasihat melainkan kat isteri dan anak. Maka saya tulis je lah kat sini.